KOTA SAMARAHAN, 21 Nov: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan kereta di Jalan Liu Shan Bang, Kuching – Serian di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Jaimi Husin berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, kemalangan melibatkan sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dari arah Batu 7 menghala ke Kem Penrissen Batu 8.
“Apabila sampai di Jalan Liu Shan Bang semasa sedang bergerak lurus, kereta yang dipandunya telah dilanggar oleh sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan dan masuk ke laluan pemanduannya.
“Akibat daripada kejadian tersebut, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, penunggang motosikal seorang lelaki berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai dan pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya,” ujarnya.-TVS