MIRI, 21 Nov: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bahagian Miri dan Hospital Miri mengadakan latihan simulasi kemalangan yang melibatkan kecederaan orang ramai di Kampung Lereng Bukit, Miri, hari ini.
Latihan tersebut bertujuan menguji kesiapsiagaan dan kemampuan logistik serta kecekapan teknikal dalam mengendalikan situasi kecemasan melibatkan lebih daripada 47 mangsa.
Melalui latihan tersebut, pelbagai agensi keselamatan dan perubatan berganding bahu bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjaga.
Ketua JBPM Miri, Ismaidi Ismail menghargai komitmen Hospital Miri yang turut serta dalam simulasti tersebut.
Menurutnya, latihan tersebut bukan sahaja menguji kebolehan kakitangan hospital dalam menguruskan mangsa yang ramai tetapi membolehkan pasukan bomba menilai keberkesanan anggota dan aset logistik dimiliki dalam menghadapi bencana besar.
“Latihan ini menunjukkan perlunya kerjasama erat antara bomba, hospital dan agensi sokongan lain.
“Walaupun latihan ini tidak memerlukan peralatan berat namun kecekapan dan kecergasan fizikal anggota bomba tetap diuji,” katanya pada Majlis Penutupan Latihan Tindak Balas Kecemasan Bencana di Hospital Miri hari ini.
Beliau berkata, latihan tersebut turut memberi peluang kepada pelbagai agensi untuk meningkatkan keupayaan komunikasi dan peluang untuk kakitangan hospital mengendalikan mangsa di zon merah tanpa melibatkan bahan berbahaya.
“Ini membolehkan kakitangan hospital memberi rawatan awal di zon merah dengan selamat namun kita berharap latihan seterusnya akan melibatkan penggunaan PPE untuk senario berbahaya,” ujarnya.
Latihan tersebut disertai Pejabat Residen Miri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Miri, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia Bahagian Miri, Pejabat Kesihatan Daerah Miri, Majlis Bandaraya Miri, Jabatan Angkatan Pertahanan Awam Bahagian Miri dan Persatuan Bulan Sabit Merah Miri. – TVS