LIMBANG, 21 Nov: Dua guru berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran kuarters yang didiami mereka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Danau di sini pagi tadi.
Komander Operasi, Ridzuan Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 7.27 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kuarters guru struktur separuh kekal telah terbakar keseluruhan.
“Dua orang guru lelaki yang mendiami rumah tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemadaman menggunakan satu aliran 400 dari pili bomba ke jentera manakala satu aliran 400 kaki dua nozel bagi membuat pemadaman sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Kebakaran tiada melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa.
“Setelah mempastikan api telah padam sepenuhnya pasukan bomba berangkat balik ke balai,” ujarnya.
Punca dan taksiran kerugian yang dialami akibat kebakaran itu masih dalam siasatan.-TVS