KUALA LUMPUR, 21 Nov: Kerajaan akan terus memantau dan menangani isu penipuan pakej haji dan umrah yang sering menjadi isu hangat setiap tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan memastikan pakej haji yang dipilih adalah melalui syarikat yang dilesenkan oleh TH.
“Suka untuk saya mengingatkan bakal haji mengenai peraturan ketat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Arab Saudi khususnya mengenai larangan menunaikan haji tanpa permit yang sah dan mengingatkan bakal jemaah haji agar sentiasa mematuhi peraturan ini untuk mengelakkan masalah semasa di Tanah Suci,” kata Mohd Na’im dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Lembaga Tabung Haji turut berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berhati-hati dan tidak mahu isu yang sering berlaku sebelum ini berulang kembali yang mana ada jemaah haji terkandas akibat ditipu oleh syarikat tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan pakej haji.
Untuk makluman, surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi tahun 1446H/2025M akan mula dikeluarkan tidak lama lagi.
“Bakal haji yang terpilih perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab tawaran,” kata Tabung Haji dalam kenyataan yang sama. -TVS