Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Ewon Benedick menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini. Foto, Jabatan Penerangan Malaysia.

Dewan Rakyat: KUSKOP salur pembiayaan RM6.45 bilion kepada 265,325 usahawan

ByIzzah Kamilah Yunus

KUALA LUMPUR, 21 Nov: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM6.45 bilion kepada seramai 265,325 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sehingga September lalu.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata pembiayaan itu dilaksanakan melalui agensinya termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).

Tambah beliau bagi memperkasakan PMKS, KUSKOP turut meningkatkan kapasiti dan keupayaan melalui program pembangunan secara bersepadu dan bersasar di bawah SME Corp.

“Antara program yang dilaksanakan adalah Program Business Accelerator (BAP) dan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP).

“Bagi tahun ini sehingga Oktober, sejumlah 472 PMKS telah mendapat manfaat dengan peruntukan diluluskan sebanyak RM86.08 juta,” katanya ketika Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dato Dr Richard Rapu (Gabungan Parti Sarawak-Betong) yang meminta KUSKOP menyatakan langkah yang telah diambil untuk menyokong PKS di seluruh negara bagi menghadapi cabaran global.

Sementara itu Ewon menambah, sehingga 30 September lalu seramai 8,308 usahawan terlibat melalui Program Bimbingan Bisnes Bumiputera (IBBC), Program Bimbingan Keuntungan (ME) dan Kursus Urus Tunai (KUT) yang menggalakkan peningkatan ilmu pengetahuan berkaitan pengurusan perniagaan dan kewangan serta pemasaran produk.

Katanya langkah lain adalah melaksanakan program galakan eksport dan penyertaan dalam misi perdagangan luar negara.

“Misi pengembangan perdagangan merangkumi usahawan francais, halal dan vendor melibatkan sebanyak 14 program antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September lalu yang melibatkan seramai 254 usahawan dan merekodkan potensi nilai jualan berjumlah RM1.4 bilion,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ewon turut menyifatkan cabaran global yang terkait dengan pengembangan perniagaan adalah penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memenuhi kriteria ditetapkan untuk memasuki pasaran antarabangsa.

” KUSKOP telah membangunkan dokumen Panduan Pantas ESG untuk PMKS sebagai rujukan asas kepada untuk memudah cara penerapan amalan ESG dalam operasi perniagaan mereka.

“SME Corp  juga sedang giat melaksanakan Program PKS Lestari untuk menggalakkan dan mempercepat penerapan ESG dalam kalangan PKS,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan