MIRI, 21 Nov: Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit membantu dua kanak-kanak terperangkap dalam sebuah pikap yang terkunci dari dalam berhampiran Dewan Permai di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 6.04 petang dengan menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah pikap terkunci dari dalam bersama dua kanak-kanak di dalamnya.
“Pihak bomba memulakan operasi mulai jam 6.13 petang dan pintu pikap tersebut berjaya dibuka pada jam 6.23 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setelah membuat size-up pasukan bomba bertindak membuka pintu kereta tersebut dengan menggunakan peralatan khas.
“Dua kanak-kanak yang berada dalam kenderaan tersebut berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.- TVS