KUCHING, 21 Nov: Backbenchers Gabungan Parti Sarawak (GPS) berperanan penting mengangkat suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, kata Allan Siden Gramong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan itu berkata mereka berfungsi sebagai jambatan utama yang menyampaikan kebimbangan, aspirasi, dan keperluan komuniti dari kawasan masing-masing kepada pihak kerajaan.
“Kami juga akan memastikan semua dasar, inisiatif, dan pendekatan GPS serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dapat dimanfaatkan oleh rakyat Sarawak, baik di kawasan bandar mahupun luar bandar.
“Saya yakin akan ada banyak lagi pencapaian yang akan datang, dan saya yakin GPS akan terus memberikan yang terbaik, katanya pada ucapan aluan Majlis Malam Backbenchers Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Hotel Sheraton Kuching, pada Rabu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur menambah, setiap ahli-ahli dewan membawa perspektif, bakat, dan pengalaman unik ke meja perbincangan, dan disatukan oleh visi bersama iaitu menginginkan sebuah negeri yang lebih baik, kuat, dan makmur.
Sehubungan itu, beliau di pihak backbenchers GPS menyuarakan cadangan agar tempoh persidangan DUN dilanjutkan kerana sesi awam bersama menteri juga dilihat sebagai platform penting yang memerlukan masa tambahan.
Menurut Allan, permintaan ini dijelaskan bukan bertujuan untuk menambah elaun mesyuarat tetapi untuk menyediakan ruang perbahasan yang lebih panjang dan mendalam dalam membincangkan isu-isu kritikal berkaitan kawasan masing-masing.
Langkah ini, jika direalisasikan, akan menjadi kunci kepada keberkesanan pelaksanaan dasar yang membawa impak langsung kepada kesejahteraan rakyat. – TVS