KUCHING, 21 Nov: Tiga pemain bola sepak gaya bebas (Freestyler) Malaysia bakal berentap pada Kejohanan Dunia 3V3 Street Football Qingdao, China pada 27 November hingga 2 Disember 2024.
Pemain bola sepak gaya bebas kelahiran Sarawak Muhamad Haziq Haikal berkata, beliau akan bergandingan dengan idolanya Zeem Ahmad yang juga merupakan Presiden Malaysian Freestylers dan seorang lagi atlet berbakat dari Pahang iaitu Haiqol.
“Saya berharap kami dapat pergi sejauh yang boleh untuk mengharaumkan nama Malaysia di persada dunia dan kalau boleh nak pulang dengan kejayaan, “ kata Haziq ketika ditemui TVS baru-baru ini.
Dalam pada itu atlet berbakat dari Sarawak itu turut menambah, beliau juga mencari peluang penajaan daripada pihak tertentu dalam menyokong kerjayanya di peringkat antarabangsa.
Katanya, dengan sokongan daripada pihak yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan beliau dalam sukan tersebut, kejayaan mampu dilakar bersama.
“Saya sekarang ini kalau ada rezeki nak bekerjasama dengan banyak lagi penaja yang mana saya akan menyertai lebih banyak kejohanan pada masa akan datang dan kalau ada yang berminat boleh berhubung dengan saya di laman soasial saya Haziq_Panna,” ujarnya.
Untuk rekod kombinasi kehebatan tiga pemian tersebut mencipta keserasian yang sukar ditandingi apabila berjaya menduduki kedudukan empat terbaik dalam kejohanan Asia 3V3 di Thailand sebelum ini.
Street Football atau bola sepak jalanan merupakan versi bola sepak yang dimainkan secara tidak formal di kawasan terbuka seperti jalan, taman dan gelanggang tertutup.
Permainan tersebut lebih santai berbanding bola sepak profesional dengan fokus kepada kreativiti, kelincahan dan kemahiran individu. -TVS