KOTA BHARU, 21 Nov: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menyeru agensi kerajaan serta syarikat swasta untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas tamat perkhidmatan.
Ketua Sektor Pembangunan Perniagaan & Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) PERHEBAT Wan Azmin Mohd Abu Bakar berkata setiap tahun sekitar 5,000 hingga 6,300 anggota menamatkan perkhidmatan mereka dan 75 peratus daripada jumlah itu berumur antara 33 hingga 42 tahun.
Beliau berkata lazimnnya veteran di dalam julat umur itu masih dilengkapi dengan kemahiran, kepakaran, jati diri serta disiplin yang tinggi sekali gus mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi syarikat-syarikat berkenaan sekiranya mengambil golongan itu bekerja dengan mereka.
“Peluang kerjaya kepada veteran ATM selepas mereka menamatkan perkhidmatan ini sekurang-kurangnya dapat meningkatkan kelestarian dan sosioekonomi hidup mereka yang telah banyak berbakti kepada negara sekali gus membantu mereka menampung keperluan keluarga.
“Malah, di PERHEBAT juga turut menawarkan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi Program Recognition of Prior Experiential Learning (R-PEL) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kepada bakal pesara mahupun veteran untuk memberi nilai tambah kepada mereka untuk kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan sebaik mereka tamat perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Peralihan Anggota Tentera Malaysia di Tunjong di sini hari ini yang dirasmikan oleh Dekan Fakulti Industri Asas Tani Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Seri Intan Mokhtar.
Mengulas lanjut, Wan Azmin berkata menerusi Diploma Kemahiran itu sebanyak 42 kursus yang ditawarkan termasuk automotif, binaan, perkhidmatan, pertanian, keusahawanan, multimedia, elektrik serta elektronik dan sebagainya bagi tempoh latihan antara enam hingga 18 bulan.
Beliau berkata ia dapat memberi peluang kepada anggota dan veteran ATM untuk menamatkan perkhidmatan dengan mempunyai diploma yang mengiktiraf pengalaman, kemahiran dan pencapaian anggota serta veteran semasa dalam perkhidmatan.
“Sehingga kini, seramai 5,202 anggota dan veteran ATM berjaya ditauliahkan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi inisiatif RPEL dan daripada jumlah itu 203 veteran berjaya mendapat pekerjaan dengan pelbagai jawatan seperti juruteknik, penyelenggaran pesawat, pengurus, penyelia, pegawai keselamatan, pengawai operasi dan sebagainya.
“Untuk membantu golongan ini berjaya mendapat pekerjaan kedua, PERHEBAT juga melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi kolaborasi agensi awam dan swasta. Kerjasama itu turut melibatkan Malaysia Aviation Group, Pos Aviation Sdn Bhd, Boustead Properties, Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd dan sebagainya,” katanya. – TVS