BUKIT MERTAJAM, 21 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 15.3 tan minyak masak bersubsidi paket 1 kilogram (kg) disyaki disimpan melebihi had kuantiti dibenarkan semasa serbuan ke atas dua stor milik syarikat pemborong di Taman Impian Ria di sini hari ini.
Menerusi operasi bermula pukul 2 petang yang membabitkan 13 penguatkuasa itu, seorang lelaki yang merupakan pemilik perniagaan berusia 47 tahun dan dua pekerja lelaki warga Bangladesh berusia 40 tahun turut ditahan bagi siasatan lanjut.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemborong itu hanya memiliki lesen untuk menyimpan masing-masing 5,000 kg minyak masak paket bersubsidi, gula dan tepung gandum.
“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas dua stor termasuk satu yang tidak berlesen menemui 15,310 kg minyak masak paket yang melebihi had simpanan ditetapkan dalam lesen.
“Kita turut merampas sebuah lori dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk minyak masak berjumlah RM58,275 dan turut menahan tiga individu,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.
Ujar beliau, rampasan tersebut merupakan yang terbesar dibuat di negeri ini setakat ini.
Mengulas lanjut Jegan berkata, semakan buku log pemborong itu mendapati ia diselenggara dengan baik namun jumlah kuantiti telah dimanipulasi berbanding jumlah sebenar di dalam stor.
“Kita tidak menolak kemungkinan bekalan minyak masak itu akan diagihkan kepada peruncit atau pihak yang tidak sepatutnya.
“Kita juga telah mengenal pasti pengilang yang membekalkan minyak masak kepada pemborong ini dan pengilang tersebut akan dipanggil untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – TVS