KUALA LUMPUR, 20 Nov: Aplikasi digital MyJPJ merekodkan lebih sejuta transaksi bernilai RM121 juta oleh pengguna bagi pembaharuan lesen dan cukai jalan, setakat Oktober 2024.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, aplikasi itu juga telah dimuat turun oleh 13.7 pengguna sejak dilancarkan pada tahun lalu, dengan 10.7 juta pengguna berdaftar.
“Sudah tentu ini menyokong agenda pendigitalan negara.
“Penggunaan (aplikasi) membantu kecekapan orang ramai dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Memang dapat dilihat keberkesananannya,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, penggunaan aplikasi digital itu juga menjimatkan kos pencetakan lesen memandu dan cukai jalan.
Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat permintaan daripada orang ramai untuk mencetak lesen atau cukai jalan secara fizikal.
“Awal tahun depan kita akan umumkan inisiatif kepada mana-mana pihak atau orang ramai yang ingin mencetak lesen secara fizikal, mungkin kena bayar kad fizikal yang dicetak kepada mereka,” katanya. – TVS