LUNDU, 20 Nov: Cubaan enam Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga negara Indonesia meloloskan diri ke Sarawak melalui Sektor Pos GABMA Biawak di sini, dipatahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) petang tadi.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam kenyataan berkata, tangkapan dibuat berdekatan lorong tikus iaitu jarak lebih kurang 68 meter dari sempadan Indonesia pada jam 4.30 petang.
“Kesemua enam orang PATI telah ditahan oleh Sub Unit iaitu sepasukan anggota TDM dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) yang sedang melaksanakan penugasan rondaan.
“Hasil daripada penahanan dan pemeriksaan terhadap enam orang PATI dalam lingkungan umur 23 hingga 38 tahun tersebut mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai,” katanya.
Katanya, anggaran nilai keseluruhan barangan yang diperiksa adalah berjumlah RM 3,651.90 iaitu melibatkan wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian.
“Kesemua enam orang PATI telah di bawa ke sempadan negara untuk pengusiran. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa,” ujarnya.
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Abd Aziz merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota di bawah naungannya.
“TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” katanya.-TVS