SAMARAHAN, 20 Nov: Sebahagian jalan di Bulatan Rembus di sini akan ditutup selama tiga bulan bermula semalam hingga 21 Januari 2025.
Pemberitahuan Sarawak Metro menerusi Facebooknya hari ini mendedahkan ia dilaksanakan bagi kerja-kerja penggantian pembentung dan pembinaan laluan projek Transit Aliran Autonomi (ART).
“Sehubungan itu, pengguna jalan raya diminta berhati-hati semasa memandu di laluan yang berkenaan,” catat kenyataan berkenaan.
Demi keselamatan semua pihak, Sarawak Metro menasihati pengguna jalan raya agar merancang perjalanan dan mematuhi segala pengurusan trafik.
“Kami mohon maaf atas sebarang kesulitan,” ujar kenyataan selain berterima kasih atas kesabaran pengguna jalan raya di sini sementara pihaknya berusaha meningkatkan infrastruktur pengangkutan awam di Kuching dan Kota Samarahan.