KAPIT, 20 Nov: Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala dua lagi diselamatkan penduduk kampung dalam kejadian bot dinaiki karam semasa dalam perjalanan dari Nanga Benin Rumah Belaja menuju ke pekan Kapit di sini, semalam.
Komander Operasi, Timothy Barat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 9.17 malam tadi dengan menggerakkan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi kejadian yang jaraknya kira-kira 30 kilometer menggunakan laluan sungai.
“Tiga mangsa terlibat dalam tragedi ini iaitu pasangan suami isteri dan seorang pekerja mereka.
“Mangsa Bubut Benang,57, masih belum dijumpai manakala isteri dan pekerjanya selamat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pada jam 5 petang ketika dalam perjalanan bot mereka terlanggar batu di tengah-tengah sungai yang berhampiran Nanga Makoh Batang Rajang dan menyebabkan bot yang mereka naiki telah karam.
“Isterinya dan pekerja telah berusaha mencari suaminya namun belum berjaya dijumpai dan pelapor percaya suaminya telah lemas.
“Kawasan kejadian terletak di hilir jeram Pelagus yang mempunyai laluan sungai yang berbatu besar yang tidak kelihatan bawah permukaan air dan keadaan air yang deras dan berbahaya kepada pengangkutan sungai,” ujarnya.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan hari ini bermula dari pekan Kapit menghala ke hulu Sungai Batang Rajang hingga ke Nanga Makoh dan ke tapak pembinaan di Nanga Benin dengan kaedah water surface searching dalam radius dua kilometer dari tempat kejadian.- TVS