KUCHING, 20 Nov: Semua pelajar Sarawak yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia layak menerima wang saku RM1,200 daripada kerajaan negeri, tanpa mengira pendapatan keluarga.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata bahawa keputusan ini dibuat setelah mempertimbangkan kebimbangan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan pengumuman awal yang hanya melibatkan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah iaitu RM1,500 per kapita ke bawah.
“Saya telah mendengar kebimbangan ini dan dengan sukacitanya mengumumkan bahawa semua pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia akan layak (menerima wang saku RM1,200) tanpa mengira pendapatan keluarga.
“Ini adalah komitmen Kerajaan GPS untuk memastikan bakat muda dijaga dengan baik,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru berkata demikian semasa sesi penggulungan kementerian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Katanya, pelajar Sarawak menuntut di IPT penyumbang kepada kemajuan Sarawak selepas mereka tamat pengajian.
“Saya mahu pelajar kita dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran mereka tanpa perlu risau untuk mencari dana mencukupi untuk makanan atau pengangkutan,” katanya.
Terdahulu semasa Lan Berambeh 2024, Premier Sarawak itu mengumumkan bantuan kewangan khas dalam bentuk wang saku untuk pelajar institusi pengajian tinggi. – TVS