KUCHING, 3 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan Sarawak menjadi ‘rumah’ pengeluar dan pengilang berskala besar pertama di dunia yang menghasilkan pelet biojisim daripada rumput Napier.
Katanya, lebih menarik lagi Sarawak telah menjual pelet ini kepada Drax iaitu stesen kuasa yang pernah dikunjungi sebelum ini.
“Pada awal tahun ini, saya berkesempatan melawat Stesen Kuasa Drax di UK yang dahulunya dikuasakan oleh arang batu tetapi kini 100 peratus menggunakan bahan bakar biojisim.
“Selepas melihat transformasi ini secara langsung, saya pulang ke Sarawak dan menggalakkan syarikat tempatan kita untuk meneroka peluang dalam industri tenaga biojisim. Pelet ini menjadi tenaga, daripada rumput,”katanya.
Tambahnya, rumput Napier yang tumbuh dengan cepat dan memerlukan penanaman semula yang minimum.
Ia menawarkan aplikasi melangkaui tenaga, termasuk Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF), baja, dan makanan haiwan, sekali gus mempromosikan ekonomi kitaran sambil meningkatkan keselamatan tenaga dan makanan.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata demikian semasa sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Katanya, Sarawak mesti terus berani mengorak langkah melangkaui sasaran dalam tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.
Sarawak sedang meneroka penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang inovatif seperti Sistem Tenaga Laut( Ocean Energy Systems) yang memanfaatkan tenaga pasang surut, ombak, dan haba laut.
“Beberapa projek transformasi di Sarawak sedang menetapkan penanda aras untuk tenaga lestari di Malaysia.
Ladang Solar Terapung Batang Ai berkapasiti 50MW akan menjadi fasiliti solar terapung terbesar di Malaysia menjelang akhir 2024, dengan integrasi yang lancar bersama Loji Hidroelektrik Batang Ai sedia ada yang berkapasiti 108MW.
“Projek solar terapung tambahan sedang maju di Empangan Murum, Bakun, dan Bengoh, bersama sistem solar yang dipasang di atas tanah dengan sokongan bateri di Baram, Mukah, dan Kuching.
Ujarnya, untuk menangani cabaran ketidaktentuan tenaga solar, Sarawak sedang membuat kemajuan dalam teknologi grid pintar dan Sistem Penyimpanan Tenaga.
Satu grid hijau berkuasa tinggi yang dicadangkan menggunakan Laluan Hak Milik (Right-of-Way) Paip Gas Sabah-Sarawak akan menghubungkan sumber tenaga boleh diperbaharui kepada pusat permintaan utama.
“Kajian kebolehlaksanaan untuk sistem Hidro Simpan Pam (Pumped Storage Hydro) turut menyokong kestabilan grid, dengan menyimpan lebihan tenaga untuk digunakan semasa waktu permintaan tinggi sekaligus mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil.-TVS