KUCHING, 20 Nov: Sarawak masih mengekalkan 7.65 juta hektar atau 62 peratus kawasan litupan hutan melalui penambahbaikan polisi dan program pengurusan hutan lestari.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini menjadikan Sarawak penyumbang terbesar kepada kawasan berhutan di Malaysia, dengan 42.4 peratus daripada 18.05 juta hektar kawasan hutan negara.
“Sebagai wilayah dengan kawasan hutan hujan tropika yang luas, Sarawak berperanan besar dalam melindungi biodiversiti global dan fungsi ekosistem.
“Inisiatif strategik pemeliharaan hutan ini bukan sahaja bermanfaat untuk alam sekitar, tetapi turut menyokong pembangunan sosial dan ekonomi komuniti setempat.
“Berdasarkan kepada Polisi Guna Tanah Sarawak, sasaran kita adalah untuk mewartakan lebih kurang 6 juta hektar kawasan Hutan Simpan Kekal dan 1 juta hektar Kawasan Terlindung Sepenuhnya,” katanya.
Kerajaan Sarawak telah bekerjasama dalam pemeliharaan hutan dengan membangunkan kapasiti dan memindahkan kepakaran kepada pemegang taruh serta pegawai jabatan terlibat.
Salah satu kolaborasi utama adalah Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Hutan Sarawak dan Australian National University yang ditandatangani pada 12 Ogos 2024 untuk penyelidikan dan pertukaran pengetahuan dalam ekosistem hutan, biodiversiti, pemuliharaan, serta pengurusan kebakaran hutan.
Pada 6 Disember 2022, Kesatuan Eropah (EU) meluluskan European Union Deforestation Regulation (EUDR) untuk menggalakkan penggunaan produk bebas penyahhutanan dan mengurangkan impak penebangan hutan.
Awang Tengah berkata EUDR adalah sebahagian daripada European Green Deal untuk mencapai status iklim neutral pada 2050.-TVS