Kuching, 20 Nov: Sarawak bersedia menjadi pemain utama dalam industri aeroangkasa Malaysia dengan sasaran menembusi pasaran selepas jualan (aftermarket) aeroangkasa Asia Pasifik yang diunjurkan bernilai RM15 trilion dalam tempoh 20 tahun akan datang, tegas Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Timbalan Premier Sarawak itu memaklumkan, rancangan strategik itu termasuk pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching yang akan menyediakan infrastruktur moden untuk membangunkan dan mengembangkan industri aeroangkasa.
Katanya, selaras dengan cadangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menjadikan Sarawak sebagai hab aeroangkasa Borneo, pelbagai langkah inovatif diperkenalkan untuk mewujudkan ekosistem yang mampan dan menyokong sektor berkenaan.
“Penubuhan Akademi Aeroangkasa di CENTEXS adalah salah satu langkah utama untuk melatih tenaga kerja tempatan dalam pembuatan dan teknologi penerbangan,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menjelaskan, Sarawak turut menjalin kerjasama strategik dengan syarikat besar industri seperti Airbus dan Boeing, yang kini menjadi rakan kongsi utama dalam usaha mengukuhkan kedudukan global wilayah ini.
Jelasnya, Pusat Teknologi Aeroangkasa Baharu juga akan ditubuhkan dengan memfokuskan kepada reka bentuk, pembangunan, pembuatan, integrasi, dan ujian sistem aeroangkasa.
“Langkah ini dijangka dapat memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dan menjadikan negeri ini sebagai pusat inovasi aeroangkasa serantau,” tambahnya. -TVS