KUCHING, 20 Nov: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) sedang membangunkan pelan pengurusan buaya dengan kerjasama pakar antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata inj termasuk melalui Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Wildlife Management International Pty Ltd (WMI) di Australia, untuk membantu dalam penggubalan pelan dan memberi latihan kepada pegawai SFC.
“Penyediaan pelan ini akan mengambil masa selama satu tahun dan laporan awal akan dikemukakan pada Disember 2024 bagi memberi gambaran tentang langkah-langkah yang perlu diambil.
“Pada masa sama, penyediaan Crocodile Rules telahpun dirangka dan kini dalam peringkat semakan akhir sebelum dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak untuk kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Sebanyak 40 operasi pemantauan telah dijalankan oleh SFC yang berjaya memindahkan 35 ekor buaya dari kawasan berhampiran penduduk antara Januari hingga Oktober lepas.
Selain itu, 55 lesen memburu dikeluarkan dan 234 papan tanda amaran dipasang di kawasan berisiko tinggi di Sarawak.
Untuk meningkatkan keselamatan dan menyokong pemuliharaan buaya, aplikasi mudah alih Sarawak CrocWatch dilancarkan pada September 2024 bagi membolehkan orang awam melaporkan kelibat buaya.
Kerajaan Sarawak juga komited mengurangkan risiko serangan buaya, dengan anggaran populasi sekitar 25,000 ekor di 22 lembangan sungai di Sarawak.- TVS