KUCHING, 20 Nov: Sebanyak RM2.8 juta hasil pelupusan melalui jualan kayu rampasan dan RM654,018 kompaun telah dikutip dalam tempoh Januari hingga Oktober 2024, dedah Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak itu, dalam tempoh tersebut Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah merekodkan 50 kes kesalahan hutan, dengan 11 kes didaftarkan untuk pendakwaan di mahkamah.
“Dua kes telah selesai diputuskan oleh mahkamah, manakala sembilan kes lagi masih dalam proses pendakwaan dan perbicaraan,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Katanya, Sarawak Forestry Corporation (SFC) giat melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang perhutanan dipatuhi dan sumber asli negeri ini dilindungi untuk generasi akan datang.
“Aktiviti penguatkuasaan SFC untuk melindungi Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan hidupan liar adalah penting demi kelestarian alam semula jadi.
“Dari Mei hingga Oktober 2024, SFC telah membuka 27 kertas siasatan berkaitan kesalahan TPA dan jenayah hidupan liar, empat kes dibawa ke mahkamah, lapan kes dikenakan kompaun dan 15 kes masih dalam siasatan,” jelasnya.
Awang tengah menjelaskan, 10 kertas siasatan dari tahun sebelumnya juga telah didakwa, sekali gus menjadikan jumlah kes didakwa di mahkamah sebanyak 14, iaitu 10 kes melibatkan denda, tiga pesalah dipenjara dan satu diberi bon berkelakuan baik.
Tambahnya lagi, kejayaan penguatkuasaan ini tidak hanya memastikan kawasan hutan dan hidupan liar Sarawak dilindungi tetapi juga menyumbang kepada pemulihan hasil negeri.
Pendekatan tegas ini merupakan langkah penting dalam memastikan kawasan terlindung dapat terus dipelihara sebagai aset ekologi dan ekonomi yang bernilai tinggi.
Kerajaan Sarawak komited untuk memperkukuh pemantauan dan tindakan penguatkuasaan demi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar. -TVS