KUCHING, 20 Nov: Kementerian Perdagangan, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) bersama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), melancarkan inisiatif untuk membawa PKS tempatan ke peringkat global.
Menterinya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata inisiatif ini, dipacu oleh Sarawak Digital Mall menerusi kerjasama dengan TikTok Shop untuk melatih dan meningkatkan kemahiran 1,000 PKS di seluruh wilayah.
“Pengusaha-pengusaha PKS Sarawak akan melaksanakan tugasan seperti penciptaan kandungan, kempen tawaran eksklusif dan aktiviti promosi melalui TikTok Shop.
“Kemudian, 500 pengusaha terbaik akan menerima insentif bernilai RM1 juta selama dua tahun termasuk kredit iklan untuk siaran langsung, baucar penghantaran percuma, sokongan kewangan, dan bantuan promosi,” katanya.
MINTRED menyokong pertumbuhan mampan PKS dengan menggalakkan penyertaan dalam pameran antarabangsa seperti MIHAS, Selangor International Expo, dan Salon International De I’Alimentation Paris.
Sehingga Oktober 2024, lebih 30,000 pengusaha PKS mencatatkan jualan melebihi RM350 juta melalui platform ini, sambil memperoleh pandangan pasaran dan membina hubungan dengan pembeli serta pengedar.
Pendekatan bersepadu ini menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan industri PKS dan meningkatkan daya saing global.- TVS