JAKARTA, 20 Nov: Pasukan bola sepak Indonesia menundukkan Arab Saudi 2-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia Zon Asia 2026 di Stadium Gelora Bung Karno pada Selasa.
Kejayaan semalam merupakan kemenangan pertama wakil tunggal ASEAN yang sekali gus membawa pasukan Garuda ke peringkat ketiga kumpulan C.
Jaringan Marcelino Ferdinan pada minit ke-32 membuka tirai jaringan untuk skuad Garuda di hadapan penyokongnya.
Arab Saudi yang terus mendominasi bola sepanjang perlawanan masih tidak berjaya menembusi benteng pertahanan penjaga gol Indonesia, Maarten Paes apabila ia berjaya mempamerkan aksi cemerlang memberi masa sukar kepada pasukan Mohammed Al-Qahtani.
Marcelino menjaringkan gol kedua sekali lagi pada minit ke-57 menerusi serangan balas yang pantas dan menjadi gol kemenangan Indonesia pada perlawanan terbabit.
Permainan agak panas pada separuh masa kedua ditunjukan oleh kedua-dua pasukan dan memaksa Indonesia bermain dengan 10 pemain apabila Justin Hubner terpaksa meninggalkan padang selepas menerima kad merah pada minit ke-89.
Perlawanan itu berakhir dengan keputusan 2-0 untuk Indonesia dan menjadi mata penting buat anak buah Tae-yong untuk bangkit daripada kekalahan 4-0 kepada Jepun pada Jumaat lalu.