KUALA LUMPUR, 20 Nov: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam fasa akhir bagi memuktamadkan perolehan kad pengenalan (MyKad) berstruktur baharu, yang akan menggantikan kad pengenalan sedia ada.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penggantian itu adalah untuk meningkatkan ciri keselamatan pada kad pengenalan, selari dengan perkembangan teknologi terkini.
“Ini adalah bagi membendung sebarang insiden percubaan untuk memalsu dan menyalah guna kad pengenalan yang mempunyai dokumen pengenalan penting terutama bagi rakyat Malaysia,” katanya.
Katanya lagi, kad pengenalan generasi baharu itu diperbuat daripada bahan polimer tinggi, polikarbonat serta dilengkapi cip keselamatan berkapasiti storan yang lebih besar.
“Piawai keselamatan penyulitan juga akan dipertingkat.
“Reka bentuk kad pengenalan baharu juga lebih moden dengan elemen seperti torehan laser,” tambahnya. – TVS