KUCHING, 20 Nov: Sarawak memperkukuh usaha melindungi khazanah alam semula jadi melalui tindakan tegas terhadap kesalahan berkaitan hutan dan kawasan terlindung.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) giat melaksanakan penguatkuasaan untuk memastikan undang-undang perhutanan dipatuhi.
Dari Januari hingga Oktober 2024, JHS merekodkan 50 kes kesalahan hutan, dengan 11 kes didaftarkan untuk pendakwaan di mahkamah.
“Dua kes telah selesai diputuskan, manakala sembilan kes lagi masih dalam proses pendakwaan dan perbicaraan.
“Dalam tempoh sama, katanya, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil rampasan berupa RM654,018 melalui kompaun RM2.8 juta hasil pelupusan kayu rampasan.” katanya
Selain itu, katanya, SFC turut melaksanakan penguatkuasaan terhadap kesalahan melibatkan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan jenayah hidupan liar.
Dari Mei hingga Oktober 2024, sebanyak 27 kertas siasatan dibuka, dengan empat kes dibawa ke mahkamah, lapan dikenakan kompaun, dan 15 masih dalam siasatan.
Penguatkuasaan ini melindungi kawasan hutan dan hidupan liar Sarawak serta menyumbang kepada pemulihan hasil negeri, memastikan kawasan terlindung terus dipelihara sebagai aset ekologi dan ekonomi. – TVS