KUCHING, 20 Nov: Pelancaran Pangkalan Bekalan Minyak dan Gas Borneo awal tahun ini menandakan satu langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Sarawak dalam industri tenaga global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek ini dirancang sebagai hab logistik minyak dan gas utama di Asia Tenggara.
“Terletak di lokasi strategik, pangkalan ini direka untuk menyokong operasi minyak dan gas luar pesisir.
“Dengan kemudahan seperti penyimpanan, logistik, dan pengangkutan, inisiatif ini bertujuan memastikan kecekapan dalam pengedaran sumber tenaga,” katanya semasa sesi pergulungan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa pangkalan ini merupakan langkah proaktif Sarawak untuk memanfaatkan rizab gas negeri yang meliputi lebih 60 peratus daripada keseluruhan rizab gas Malaysia.
“Pangkalan ini adalah pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan simbol kepada komitmen Sarawak sebagai peneraju dalam sektor tenaga serantau,” katanya.
Kerajaan Sarawak komited menjadikan pangkalan ini sebagai pusat inovasi yang membuka peluang pekerjaan, menarik pelaburan, dan meningkatkan daya saing global.
Dengan teknologi moden dan infrastruktur logistik bertaraf dunia, Sarawak dijangka menjadi pemimpin dalam sektor minyak dan gas global serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi mampan.-TVS