KUCHING, 20 Nov: Sebanyak 93,222 lot individu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah berjaya diukur sehingga 31 Oktober lepas, dedah Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata, pengukuran tanah tersebut melibatkan kawasan seluas 112,021 hektar atau 276,804 ekar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
“Sejak tahun 2017, fokus pengukuran juga ditumpukan kepada pengukuran lot-lot individu bagi pengeluaran surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak untuk kawasan yang telah diwartakan di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut.
“Bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini, penuntut tanah hendaklah hadir semasa pengukuran di lapangan, menanda sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak yang sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR mereka yang sahih dan diwujudkan selaras dengan peruntukan undang-undang tanah sedia ada.
Selain itu, beliau berkata seluas 1,168,123 hektar telah berjaya diukur secara perimeter menerusi Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang telah dijalankan dari tahun 2010 sehingga 31 Oktober 2024.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seluas lebih kurang 924,596 hektar telah pun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Selain itu, Kerajaan Sarawak juga turut menerima peruntukkan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM19 juta secara berperingkat pada tahun ini bagi kelangsungan program itu dan telah melantik 467 pegawai oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
“Dalam masa yang sama, bagi menambah kapasiti ukur program ini, khidmat juruukur swasta bertauliah turut digunakan dimana sebanyak 37 kawasan projek telah diukur oleh juruukur swasta bertauliah.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 29 kawasan melibatkan pengukuran perimeter (Peringkat Pertama) dengan keluasan lebih kurang 181,131 hektar dari tahun 2015 sehingga 2024 manakala sebanyak lapan kawasan melibatkan pengukuran lot individu (Peringkat Kedua) dengan keluasan lebih kurang 1,803 hektar,” katanya lagi.
Namun, pengukuran perimeter tanah NCR melibatkan kawasan sempadan antarabangsa Malaysia dan Brunei Darussalam perlu disemak secara teliti kerana proses penentuan sempadan antarabangsa di sebahagian kawasan tersebut belum lagi dimuktamadkan.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan kelangsungan program itu dan akan terus menyediakan dana yang diperlukan di samping dana yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan. – TVS