SIBU, 20 Nov: Sebuah kilang besi di Lorong 2, Jalan Maling di sini, hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku pada petang Selasa.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden yang mengambil masa sekitar tiga jam untuk dikawal sepenuhnya oleh pihak bomba.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mashor Kinit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 malam dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu, dengan bantuan BBP Sungai Merah.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 7.25 malam, kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang besi dengan anggaran keluasan 32×40 kaki persegi. Api telah memusnahkan kira-kira 80 peratus daripada struktur kilang,” katanya dalam kenyataan pada malam tadi.
Katanya, operasi pemadaman dilakukan dari dua arah dengan menggunakan tiga jentera termasuk dua FRT (Fire Rescue Tender), satu EMRS (Emergency Medical Rescue Services), dan satu kenderaan Kembara.
“Pasukan dari BBP Sungai Merah menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dan dua nozel air untuk memadamkan api dari bahagian hadapan.
“Sementara itu, pasukan BBP Sibu Sentral menggunakan aliran hos yang sama, dua nozel, satu pam angkut, serta sumber air dari parit untuk memadamkan api dari bahagian belakang kilang,” jelas Mashor.
Beliau menambah bahawa kebakaran ini pada awalnya disangka melibatkan rumah berdasarkan laporan pertama, namun siasatan mendapati ia melibatkan sebuah kilang besi.
Sebanyak 22 anggota dari dua buah balai tersebut terlibat dalam operasi ini.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.58 malam selepas pihak bomba memastikan kawasan tersebut selamat.
“Anggaran awal kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” tambah Mashor.
Pihak bomba mengingatkan pemilik kilang agar sentiasa memastikan sistem keselamatan kebakaran dipantau secara berkala bagi mengelakkan insiden serupa berlaku.-TVS