KUCHING, 20 Nov: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan Sarawak kekal mempunyai kuasa legislatif terhadap sumbernya melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016.
Menurutnya, dua undang-undang ini memberi kuasa kepada Sarawak untuk mengawal aktiviti eksplorasi dan pengeluaran sumber, termasuk minyak dan gas, di daratan dan pelantar benuanya.
“Adalah menjadi hak Kerajaan Sarawak untuk memastikan undang-undangnya dipatuhi tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak, hak serta kuasa legislatif Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabuli.
“Secara ringkasnya, hak kedaulatan Sarawak ke atas tanah, sumber, dan pelantar benua, adalah termaktub dalam MA63, Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan,” kata Abang Johari semasa ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Rabu.
Sarawak bertekad untuk mempertahankan hak kedaulatannya dengan mengambil langkah-langkah yang tegas dan konsisten dalam memastikan bahawa hak-hak yang terkandung dalam Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan terus dihormati dan dipatuhi.
“Hak-hak ini dijamin oleh perlembagaan dan telah dilaksanakan secara konsisten oleh Sarawak.
“Dan dengan ini, Sarawak tetap bertekad untuk mempertahankan hak-haknya yang tidak boleh dipindah milik serta memastikan pematuhan undang-undangnya bagi melindungi kedaulatan wilayah dan kawalan sumbernya.-TVS