JAKARTA, 20 Nov: Empat orang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang melanda Purworejo, Jawa Tengah pada 4.00 petang waktu tempatan semalam.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui kesemua mangsa tertimbus dalam runtuhan tengah hari tadi selepas melakukan pencarian sejak semalam.
Menurut Jurucakap Badan Penanggulangan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Abdul Muhari, kejadian tanah runtuh itu berlaku selepas hujan lebat dan menyebabkan tanah tidak stabil dan runtuh kemudian menimbus rumah penduduk.
“Keadaan tanah sangat tidak stabil sehingga menyebabkan hujan lebat menjadi punca tanah runtuh dan menimbus rumah penduduk yang berhampiran di kawasan itu,” katanya.
Malah, menurutnya, operasi mencari sempat dihentikan sementara kerana keadaan tanah masih tidak stabil.
Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya dipindahkan dan penduduk di situ dibawa ke lokasi pemindahan sementara bagi mengelak tanah runtuh yang masih berpotensi berlaku.
BNPB merayu kepada penduduk tempatan dan kerajaan tempatan untuk terus berwaspada dan bersiap sedia menghadapi potensi bencana hidrometeorologi memandangkan hujan frekuensi tinggi akan melanda di hujung tahun ini.-TVS