SIBU, 20 Nov: Dua beranak cedera parah selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di kediaman mereka di Lorong Permai Timur 9, Sibu, tengah hari tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 1.15 petang.
Menurutnya sejurus itu sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah yang diketuai oleh PBK II Mohd Faizal Bujang bergegas ke lokasi dengan kekuatan 11 anggota bersama satu jentera FRT dan satu Hilux.
“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati letupan berpunca daripada tong gas LPG yang menyebabkan kesan kebakaran pada mesin basuh.
“Terdapat sedikit runtuhan di bahagian siling dapur akibat daripada kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, lelaki 39 tahun dan anaknya yang berusia 12 tahun itu didapati melecur dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” ujarnya.
Tambahnya, pihak bomba memastikan kawasan kejadian dalam keadaan selamat dengan memeriksa sisa tong gas bagi mengelakkan risiko letupan susulan.
Operasi tamat pada jam 12.35 tengah hari sebaik kawasan terbabit disahkan bebas daripada sebarang ancaman bahaya.
Andy turut menasihati orang ramai agar sentiasa memastikan tong gas dipasang dengan betul dan memeriksa keadaan getah penyambung bagi mengelakkan kebocoran yang boleh membawa kepada letupan.
“Kejadian ini menjadi peringatan penting kepada semua untuk sentiasa peka terhadap langkah keselamatan berkaitan penggunaan gas di rumah,” tambah beliau.-TVS