KUALA LUMPUR, 20 Nov: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menegaskan komitmennya untuk melibatkan semua pihak, termasuk pembangkang, dalam usaha mempromosikan perpaduan nasional seperti Friends of Unity (FOU).
Timbalan Menterinya Saraswathy Kandasami menjelaskan bahawa penglibatan tersebut yang turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dilihat sebagai platform neutral dan bebas daripada agenda politik.
“Sebaliknya, semua atau mana-mana NGO yang aktif dalam mempromosikan perpaduan dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti perpaduan.
“Wakil pembangkang juga boleh bekerjasama dengan NGO, selagi NGO tersebut tidak membawa agenda politik dalam usaha mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, KPN juga telah menubuhkan Majlis Mesyuarat YB Menteri Perpaduan Bersama Menteri Perpaduan Negeri Sabah dan Sarawak serta Exco Perpaduan Negeri (MExUnity) untuk tujuan perancangan dan pelaporan program-program perpaduan di seluruh Malaysia selaras dengan dasar keterangkuman.
Sementara itu berhubung kriteria untuk menyertai inisiatif FOU dan bilangan NGO yang terangkum dalam rangkaian KPN, jelasnya, ia terbuka kepada NGO dan penyertaan bertaraf tempatan dan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atau Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) serta terbukti aktif melaksanakan program-program perpaduan.
“Bermula dari tahun 2020 sehingga kini, kementerian telah mengadakan kerjasama dengan lebih 250 NGO bagi pelaksanaan program-program perpaduan di peringkat komuniti, daerah dan negeri serta program-program utama kementerian,” katanya. – TVS