KUCHING, 20 Nov: Cadangan untuk memanjangkan tempoh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dipertimbang bagi memberikan lebih banyak masa kepada ahli dewan untuk membincangkan perkara penting.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, permintaan tersebut diutarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong yang menyuarakan perkara berkenaan dengan menekankan keperluan perbincangan lebih mendalam mengenai isu-isu utama.
“Tahun lepas, kita menerima permintaan untuk elaun tambahan bagi ahli-ahli dewan.
“Tetapi kali ini, kita sedang meneliti kemungkinan untuk melanjutkan tempoh persidangan dan saya akan berunding dengan Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar untuk meneliti perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dan menjawab permintaan daripada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Allan Siden Gramong berkenaan permintaan melanjutkan waktu persidangan tersebut pada Majlis Malam Backbenchers Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Hotel Sheraton Kuching, malam ini.
Pada majlis sama, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS turut memuji profesionalisme yang dipamerkan oleh semua ahli dewan sepanjang sesi DUN kali ini.
Menurutnya walaupun masa yang terhad, setiap ahli dewan menunjukkan kebolehan tinggi dalam menguruskan masa dengan berkesan.
“Kita sangat bertamadun, kita mengadakan sesi perdebatan secara formal dan konstruktif, tidak seperti di tempat lain di mana kekecohan sering berlaku,” tambahnya.
Beliau juga menghargai kejayaan sesi tersebut yang didorong oleh kepatuhan kepada peraturan mesyuarat dan bimbingan Speaker, termasuk pindaan yang dilakukan untuk memperbaiki susunan dan kesantunan sepanjang sesi persidangan.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan ADUN Kalaka, Mohamad Duri. – TVS