KUALA LUMPUR, 20 Nov: Sebanyak 7,900 syarikat telah dikenal pasti menggunakan sistem e-Invois setakat 19 November 2024 yang melibatkan pengeluaran 87 juta e-Invois secara keseluruhan dengan penyertaan bukan sahaja melibatkan syarikat atau pembayar cukai fasa pertama, tetapi turut disertai oleh syarikat yang berada dalam fasa kedua dan ketiga secara sukarela.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, ia menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan syarikat dengan mematuhi pelaksanaan e-Invois.
Selain itu, katanya, kerajaan juga telah menyediakan tempoh peralihan selama enam bulan bagi memberi kelonggaran kepada perniagaan iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan setiap bulan.
“Sepanjang tempoh peralihan ini juga, penalti tidak akan dikenakan kepada perniagaan yang sekurang-kurangnya mengeluarkan e-Invois disatukan.
“Dalam usaha untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) melaksanakan e-Invois ini tanpa melibatkan sebarang kos tambahan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menyediakan portal MyInvois yang boleh diakses dan digunakan secara percuma bagi proses penghantarane-Invois kepada LHDN.
“Sebagai tambahan, aplikasi MyInvois telah dibangunkan dan disediakan kepada pembayar cukai. Kini pembayar cukai boleh melaksanakan e-Invois menerusi aplikasi MyInvois di telefon pintar masing-masing pada bila-bila masa dan di mana jua,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan menyediakan insentif cukai bagi perniagaan yang melakukan perbelanjaan bagi pelaksanaan e-Invois berlandaskan kepada beberapa kriteria yang perlu dipatuhi.
“Tempoh tuntutan elaun modal dikurangkan daripada empat tahun kepada tiga tahun bagi perbelanjaan pembelian peralatan ICT dan pakej perisian komputer mulai tahun taksiran 2024 dan potongan cukai sehingga RM50,000 bagi setiap tahun taksiran bagi perbelanjaan yuran perundingan yang ditanggung PMKS mulai tahun taksiran 2024 hingga 2027.
“Kerajaan akan terus komited untuk membantu semua syarikat termasuk PMKS sepanjang tempoh peralihan dalam melaksanakan e-Invois sepenuhnya.
“Sesi libat urus, aktiviti pendidikan dan ‘hand holding program’ akan terus dipergiat di seluruh negara bagi menjelaskan proses dan mekanisme pelaksanaan e-Invois, di samping memberi bimbingan berhubung penggunaan portal MyInvois,” katanya. – TVS