KUCHING, 19 Nov: Sarawak komited untuk memperkukuhkan autonominya, terutama dalam hal ehwal buruh, bagi melindungi kebajikan pekerja.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia mewajibkan semua majikan mendapatkan kelulusan mengikut Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76), yang menggariskan peraturan untuk pengurusan hal buruh.
“Peruntukan ini memastikan amalan penggajian adalah sejajar dengan undang-undang serta keutamaan pembangunan atau sektor ekonomi di Sarawak.
“Autonomi ini (hal ehawal buruh) adalah asas penting kepada tadbir urus dan identiti Sarawak. Hak-hak ini dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan IGC yang merupakan kunci kepada keupayaan Sarawak untuk melindungi kepentingannya serta mengekalkan autonomi dalam Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Karim memaklumkan Sarawak mempunyai kuasa penuh untuk melarang mana-mana individu atau entiti daripada beroperasi di negeri ini sekiranya gagal mematuhi undang-undang yang telah diluluskan.
Tegas beliau, Sarawak akan terus mempertahankan hal berkaitan autonomi dan melindungi hak kebajikan rakyat demi menjaga keharmonian dan kemakmuran wilayah ini. – TVS