KOTA SAMARAHAN, 19 Nov: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) kini giat memperkukuh perkembangan kerjaya kedua golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui penawaran program pensijilan dan diploma kemahiran.
Pengerusi PERHEBAT, Jeneral (B), Tan Sri Dato Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata menerusi program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL) yang telah diperkenalkan pada tahun 2017, anggota tentera yang sedang berkhidmat mahupun veteran diberi peluang untuk menamatkan perkhidmatan dengan diploma mahupun sijil yang dikeluarkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Tambah beliau lagi, selain penawaran sijil dan diploma, PERHEBAT turut melaksanakan pelbagai inisiatif penempatan pekerjaan dengan kerjasama agensi awam dan swasta di seluruh Malaysia.
Antaranya agensi swasta yang terlibat, Veteran MyWira, Malaysia Aviation Group (MAG), Pos Aviation Sdn Bhd dan Micron Memory Malaysia yang menawarkan pelbagai bidang dalam pasaran kerja bagi membolehkan veteran mempunyai peluang kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan.
“Berdasarkan pengesanan kerjaya kedua melibatkan 3,142 orang mendapati, 70.4% veteran telah mempunyai peluang pekerjaan kedua.
“Dari jumlah itu, 15 peratus telah berkerja dengan majikan, 74 peratus menjadi usahawan tunas atau berkerja sendiri, 11 peratus menjadi usahawan manakala 30 peratus veteran sedang mencari pekerjaan.
“Sehingga kini, sejumlah 203 veteran berjaya mendapat pekerjaan dengan pelbagai jawatan seperti juruteknik penyelenggaraan pesawat, pengurus, penyelia, pegawai keselamatan, pegawai operasi dan pengajar institusi memandu,” katanya lagi.
Zulkiefli berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program RPEL) dan Sijil PERHEBAT di sini pada Selasa.
Selain penawaran program sijil dan diploma, PERHEBAT turut memperkenalkan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) tahun lalu dengan 216 veteran ATM telah mendapat manafaat dari geran Sokongan Pengukuhan Keusahawan Luar Bandar (SPKLB), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bernilai RM 1,080,000.00.
Kerjasama turut diadakan diantara PERHEBAT dengan 3 institusi perbankan iaitu Affin Islamic, Bank Muamalat Malaysia dan Bank Simpanan Nasional dalam menyediakan dana zakat dan pembiayaan mikro kepada veteran ATM menerusi inisatif i-TEKAD.
Hadir sama Ketua Sektor Latihan Kemahiran dan Keusahawanan PERHEBAT, Dr Nor Hayati Yahaya dan Panglima Markas 3 Briged, Jeneral Mohd Sauffi Omar. -TVS