KUCHING, 19 Nov: SUKMA Sarawak 2024, yang diadakan dari 17 hingga 24 Ogos, menyaksikan Kontinjen Sarawak merangkul kejuaraan keempat sejak 1994 dengan 201 pingat.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kejayaan itu lebih bermakna apabila Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan SUKMA kali ke-21 itu bebas doping selepas analisis terhadap 13 sampel didapati negatif.
“Kejayaan penganjuran ini boleh dikaitkan dengan usaha tanpa mengenal lelah daripada jawatankuasa penganjur, media dan penaja yang kesemuanya bekerja keras untuk mempromosikan sukan tersebut serta mendapat pujian pada majlis perasmian dan majlis penutupan SUKMA Sarawak 2024.
“Bukan itu sahaja, kejayaan Sarawak meraih kejuaraan selepas 30 tahun datang hasil daripada kemajuaan dan pembangunan sukan serta pengiktirafan daripada serantau,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Menurut Abdul Karim, penganjuran SUKMA Sarawak 2024 mengumpulkan atlet dan pegawai dari seluruh negeri serta Brunei Darussalam sebagai kontinjen jemputan, mempamerkan perpaduan melalui sukan.
Malah tambahnya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM240.2 juta untuk temasya ini, dibantu oleh Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM50 juta.
“Pelaburan strategik ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan sukan di negara ini dan impak positif sukan tersebut kepada masyarakat setempat, atlet dan negara.
“Dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk kedua-dua acara SUKMA Sarawa 2024 dan Para SUKMA Sarawak 2024, sokongan kerajaan pusat dengan ketara menyumbang kepada bajet keseluruhan di mana pembiayaan ini bukan sahaja membantu perbelanjaan operasi am tetapi juga memastikan keperluan atlet kurang upaya dipenuhi, menggalakkan keterangkuman serta peluang sama rata dalam sukan,” katanya lagi.
Pada SUKMA 2024, Sarawak merangkul 76 pingat emas, diikuti rapat oleh Kontinjen Wilayah Persekutuan dengan 75 pingat emas.
Manakala Para SUKMA, Sarawak memenangi 209 pingat, termasuk 82 pingat emas, manakala Kontinjen Sabah hanya meraih 62 pingat emas daripada 136 pingat. – TVS