KUCHING, 19 Nov: Penyelidikan mengenai penemuan dua pesawat pejuang lama dari Perang Dunia Kedua di sempadan Sabah dan sebuah perkampungan di Lawas masih berjalan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata penyelidikan ini akan memakan masa panjang untuk mengkaji kewujudan pesawat tersebut secara terperinci.
“Kita tidak mahu terburu-buru untuk mendapatkan maklumat berkenaan kapal tersebut kerana khuatir akan ada kesalahfahaman dalam menyampaikan maklumat.
“Ini kerana penyelidikan masih lagi dijalankan oleh Jabatan Muzium Sarawak bersama kementerian saya.
“Kita perlu berhati-hati dalam kes ini dan menunggu maklumat yang sahih daripada pihak muzium,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini. -TVS