KUCHING, 19 Nov: Empat ekspedisi kapal persiaran dengan 622 penumpang yang akan berlabuh di Miri dan Kuching menjelang akhir tahun ini bakal memberi peluang kepada penumpang untuk meneroka tarikan pelancongan di pantai Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata lawatan ini akan membuka peluang kepada industri pelancongan tempatan untuk berkembang, dengan mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
“Baru-baru ini, STB juga telah menjalin kerjasama strategik dengan Scoot, syarikat penerbangan Singapura yang mana akan mengukuhkan lagi hubungan antara Singapura dan bandar utama di Sarawak iaitu Kuching, Miri dan Sibu.
“Kerjasama ini telah membawa kepada peningkatan sebanyak 14 penerbangan mingguan setiap hari ke Kuching, empat ke Miri dan tiga ke Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Hari Ketujuh, hari ini.
Kata Abdul Karim, STB akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan seperti AirAsia, Royal Brunei Airlines, AirAsia Indonesia, dan Batik Air untuk meningkatkan ketersambungan dan memacu pertumbuhan ekonomi dalam sektor pelancongan.
“Pada 11 Julai lalu, STB dan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) perkongsian strategik tiga tahun untuk mempertingkatkan perhubungan Sarawak melalui pelbagai inisiatif bersama.
“Melalui strategik kerjasama ini diharap dapat meningkatkan sektor pelancongan yang membawa kesan positif kepada Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya lagi. – TVS