SHAH ALAM, 19 Nov: Kementerian Komunikasi berhasrat melibatkan diri dengan kumpulan hak media untuk memahami pandangan mereka mengenai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ia akan melibatkan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).
“Saya akan berhubung dengan pihak NUJM, CIJ dan Geramm untuk memahami situasi mereka kerana isu ini diketahui menerusi laporan media baru-baru ini.
“Walaupun draf itu bukan di bawah jagaan Kementerian Komunikasi, tetapi saya sedia mendengar pandangan daripada rakan-rakan media dan insyaAllah kita akan cuba untuk sampaikan. Tetapi saya tegaskan sekali lagi, ia bukan di bawah bidang kuasa kementerian saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi KWSP, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman.
Pada Sabtu lalu, NUJM, CIJ dan Geramm dalam satu kenyataan bersama berkata, ia meminta penjelasan berikutan desas-desus bahawa syarat serta penalti bagi media akan diperluas dan diperketatkan di bawah cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ketiga-tiga pertubuhan itu mendakwa pindaan itu akan mengembalikan keperluan pembaharuan lesen setiap tiga tahun dan meluaskan takrifan penerbitan termasuk kandungan digital serta elektronik.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pemeteraian MoU itu, beliau berkata FINAS dan KWSP bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan memperluas skim KWSP kepada para penggiat seni dan industri kreatif serta hiburan.
“Ini bermakna penggiat seni, meliputi pelakon, kru produksi, penulis skrip, pengarah, dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam industri ini, kini boleh
menikmati perlindungan yang sebelum ini mungkin terhad kepada sektor formal sahaja.
“Setakat ini, sejumlah 3,925 penggiat seni telah mencarum dalam i-Saraan KWSP sejak tahun 2010 hingga 2024. Ini diterjemahkan kepada jumlah caruman sebanyak RM28.33 juta untuk i-Saraan, RM1.48 juta insentif khas kerajaan, dan RM231.94 juta dalam bentuk simpanan KWSP.
Daripada 3,925 individu tersebut, 44 peratus adalah lelaki dan 56 peratus adalah wanita,” ujarnya.
Fahmi berkata, MoU itu juga merangkumi usaha memperkukuh isu-isu kebajikan
pekerja seperti perlindungan insurans, standard kontrak kerja yang lebih baik, serta promosi berterusan skim caruman KWSP. – TVS