KUCHING, 19 Nov: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak akan membangunkan pangkalan data belia dan sukan untuk meningkatkan pengurusan dan kemajuan dalam sektor tersebut.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata inisiatif ini bertujuan untuk membolehkan kementerian membuat keputusan yang berasaskan data serta memastikan peruntukan kemajuan dapat disalurkan secara berkesan di semua peringkat.
“Kementerian saya sedang berusaha untuk membangunkan Pangkalan Data Belia dan Sukan yang akan membolehkan kementerian saya membuat keputusan, dipacu data dan memperuntukkan kemajuan merentasi semua peringkat.
“Untuk membangunkan pangkalan data ini, Sarawak memerlukan penyelidikan yang meluas dan pendekatan inklusif untuk pengumpulan data,”katanya.
Menurut Abdul Karim, bagi memastikan pangkalan data adalah komprehensif dan tepat, kementeriannya akan bekerjasama dengan Insitut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES) dalam kajian Indeks Belia Sarawak 2.0.
“Data ini akan disepadukan dengan Sistem Pengurusan Permainan Bersepadu (IGMS) sedia ada daripada SSC untuk mewujudkan sistem yang memenuhi keperluan pelbagai pihak berkepentingan utama.
“Kami juga sedang mengkaji untuk menyatupadukan Pangkalan Data Besar Sarawak pada masa akan dating,”katanya – TVS