SIBU, 19 Nov: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas tidak balik ke rumah di Batu 7 ½ Jalan Oya, Kampung Jeriah, di sini.
Mangsa, Kedri Hamjah berusia 83 tahun masih belum dijumpai setakat ini.
Komander Operasi, Rambor Udam berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kęs itu jam 1 tengah hari semalam dengan menggerakkann 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah ke lokasi kejadian.
“Anaknya menyedari bapanya tidak ada di rumah sekitar jam 2 petang pada 15 November dan percaya bapanya telah keluar rumah dan tidak pasti ke mana.
“Kali terakhir pengadu melihat bapanya di bawah rumah sedang tidur di buaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, menurut anaknya, bapanya sebelum ini pernah dua kali keluar dari rumah namun selepas dua hari akan balik semula tetapi kali ini bapanya belum balik dan merka risau akan keselamatannya.
“Pakaian terakhir yang digunakan oleh bapanya ialah baju t-shirt berkolar warna hitam, berseluar panjang tracksuit warna hitam dan menggunakan tongkat memandangkan bapanya mengalami sakit gout dan sakit lutut,” ujarnya.-TVS