KUCHING, 19 Nov: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh bidang kesihatan negeri selepas Kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan kuasa penting di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata tiga bidang utama yang diberikan kuasa adalah pendaftaran klinik, pelesenan, dan penguatkuasaan.
“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa yang sebelum ini dipegang oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) di Kementerian Kesihatan Persekutuan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam tiga bidang utama iaitu pendaftaran klinik, pelesenan, dan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau Beliau berkata ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Kui Hian berkata, pelantikan Ahli Lembaga Pelawat kini berada di bawah bidang kuasa Menteri Kesihatan Awam Sarawak, mencatatkan satu lagi pencapaian dalam autonomi negeri.
Selain itu, penubuhan Jawatankuasa Perubatan Sarawak (SMC) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sedang dalam perbincangan untuk menetapkan syarat-syaratnya (TOR).
“Bagi penubuhan Jawatankuasa Perubatan Sarawak (Sarawak Medical Committee, SMC) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC), perbincangan mengenai Terms of Reference (TOR) masih berjalan.
“Objektif utama SMC adalah untuk menyediakan struktur tadbir urus tempatan yang memastikan pematuhan kepada peraturan MMC sambil menangani keperluan dan cabaran khusus sektor kesihatan di Sarawak,” ujarnya lagi.
Jelasnya, penyerahan kuasa ini diharapkan dapat memperkukuhkan sistem kesihatan Sarawak dalam memenuhi keperluan rakyat secara lebih efektif.-TVS