KUCHING, 19 Nov: Kerajaan Sarawak mempergiat usaha menangani projek perumahan bermasalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP) pada Mac 2023.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata ia bertujuan untuk memantau dan menyelesaikan projek perumahan tertangguh.
Menurutnya, daripada 649 projek perumahan berlesen di Sarawak, sebanyak 43 projek melibatkan 4,837 unit dikenal pasti sebagai projek sakit.
“Melalui jawatankuasa itu, sebanyak 16 projek melibatkan 3,107 unit telah berjaya diselesaikan sepenuhnya, disiapkan sebahagian, atau menyambung semula pembinaan, memberikan manfaat kepada 663 pembeli.
“Manakala, 27 projek melibatkan 1,730 unit masih dalam pelbagai peringkat pemantauan dan fasilitasi aktif,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu berkata situasi projek perumahan bermasalah kekal dinamik akibat faktor seperti pembangunan berperingkat, perubahan pasaran hartanah, dan masa menandatangani perjanjian jual beli.
Cabaran lain termasuk ketidakstabilan kewangan pemaju, isu perundangan, dan faktor ekonomi yang memburukkan usaha pemulihan.
Walaupun menghadapi kekangan undang-undang dan sumber, katanya Kerajaan Sarawak komited memperkukuh pengawasan, memastikan pemaju bertanggungjawab, dan menyokong pembeli rumah yang terjejas. -TVS