BINTULU, 19 Nov: Kemalangan yang meragut nyawa pemandu van di Batu 15 Jalan Pan Borneo Bintulu-Miri di sini semalam, dipercayai berlaku semasa pemandu van yang membawa 14 penumpang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu dan SMK Bintulu, dalam perjalanan dari arah Bandar Bintulu menuju untuk menghantar pelajar sekolah balik ke rumah.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, sebuah lagi van membawa pekerja dari arah Taman Perindustrian Samalaju.
Seorang maut, kemalangan babitkan van pekerja dan van sekolah
“Kes kemalangan maut jalan raya telah berlaku pada jam lebih kurang 7.30 malam melibatkan dua buah van. Seorang mangsa lelaki iaitu pemandu van telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi pemandu van dan 21 penumpang yang lain mengalami kecederaan tahap berlainan telah dikejar ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, apabila sampai di P-Turn Batu 15 Jalan Pan Borneo Bintulu-Miri, pemandu van yang membawa pelajar sekolah membuat pusingan P dan telah membelok sepenuhnya memasuki jalan sebelah, semasa dalam proses masuk ke simpang di jalan sebelah, tiba-tiba sebuah van yang membawa tujuh orang penumpang dari Taman Perindustrian Samalaju dalam keadaan bergerak lurus, datang dari arah Miri menghala ke arah Bandar Bintulu telah berlanggar dengan van yang membawa pelajar sekolah di lorong kiri jalan tersebut.
“Akibat kemalangan, van yang membawa pelajar sekolah seterusnya terbalik di atas jalan. Pemandu van yang bawa pelajar sekolah seorang lelaki berusia 66 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bintulu yang tiba di tempat kejadian.
“Pemandu van yang membawa pekerja dan 21 penumpang yang lain mengalami kecederaan tahap berlainan dan telah dikejar ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-TVS