KUCHING, 19 Nov: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menyalurkan RM7.3 juta bantuan bencana kepada 153,981 mangsa dari Januari hingga Oktober tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bantuan tertinggi adalah RM3.8 juta untuk bekalan air bersih semasa kemarau, yang disalurkan kepada 117,633 orang.
“Sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, kerajaan telah menyediakan stok bantuan bencana kepada mangsa di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Samarahan, Mini Depoh di Miri dan Lawas,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 16 stor bantuan bencana telah ditempatkan di pejabat kebajikan bahagian dan daerah di seluruh Sarawak bagi memastikan penyaluran bantuan yang cepat dan efisien kepada mangsa-mangsa bencana.
Selain itu, 31 pangkalan hadapan bencana juga telah diwujudkan sebagai pusat operasi sementara untuk menyelaras bantuan serta aktiviti pemulihan bencana di kawasan terjejas.
Langkah ini diambil untuk memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan dan respons jabatan dalam menangani sebarang bencana yang berlaku di negeri ini.
Dalam ucapan sama, beliau mendedahkan setakat Oktober tahun ini, sejumlah RM4.5 juta telah dibelanjakan bagi memberi manfaat kepada 110 pesakit di bawah Skim Bantuan Alat Tiruan atau Sokongan.
“Seramai 184 pesakit di bawah Skim Bantuan Pesakit Buah Pinggang (BPBP) dan 52 pesakit di bawah Skim Bantuan Perubatan,” katanya. – TVS