PUTATAN, 19 Nov: Seorang wanita maut manakala anaknya putus kaki selepas dirempuh dan digilis kereta api berhampiran Kampung Petagas di sini pada Selasa.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putatan, PPgB Noor Sherriyana Bohari, insiden berlaku sekitar jam 1.58 petang itu melibatkan kereta api yang sedang menuju dari Putatan ke Kota Kinabalu.
Noor Sherriyana  mendedahkan mangsa dilaporkan terseret sejauh 20 meter selepas pelanggaran.
“Kanak-kanak lelaki tersebut mengalami kecederaan serius, termasuk patah kaki, selain cedera di tangan dan kepala. Mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 oleh pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya di dalam kenyataan.
Pasukan bomba yang terdiri daripada tujuh anggota tiba di lokasi kejadian pada jam 2.20 petang, kira-kira 22 minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Operasi turut melibatkan pembersihan lokasi dan pemindahan jenazah wanita terbabit untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai oleh PBK II Linda Eslaowagis tamat sepenuhnya pada jam 2.47 petang. Turut berada di lokasi ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai KKM. -TVS