KOTA SAMARAHAN, 19 Nov: Ibu kepada dua cahaya mata yang juga Laskar Kanan TNL, Noorashikin Mohd Noor antara empat penerima Diploma Kemahiran Malaysia dalam program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL) oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) hari ini.
Noorashikin, 35, dari Sungai Petani, Kedah dan telah berkhidmat di Markas Pegawai Wakil Tentera Laut (PWTL), Kuching sejak lapan tahun lalu menyertai program ini sebagai usaha menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang yang kini diceburinya iaitu kejuruteraan logistik.
Tambahnya lagi program pensijilan keusahawanan, kemahiran dan diploma yang telah diwujudkan bermanafaat untuk semua anggota ATM terutama mereka yang masih dalam perkhidmatan seperti dirinya.
“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana bukan semua berpeluang untuk menyertai program RPLE.
“Program RPLE ini bagus untuk kumpulan veteran kerana mereka berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan (kedua) yang lebih baik apabila mereka bersara nanti,“ katanya lagi.
Selain Noorashikin, 92 anggota ATM dari Sarawak turut menerima sijil bagi Latihan Peralihan melalui dua kursus yang ditawarkan iaitu Kursus Usahawan PKS, Agrotani, jahitan kusyen dan beg di Kuching dan Kursus Usahawan di Sibu.
Program yang diperkenalkan PERHEBAT bermula pada tahun 2017 bertujuan mempersiapkan anggota yang masih berkhidmat dan veteran ATM dalam bidang kemahiran yang sesuai dengan khendak pasaran kerja dalam memastikan mereka berdaya saing dan berpeluang memperolehi pekerjaan kedua selepas menamatkan perkhidmatan.
Pengerusi PERHEBAT, Jeneral (bersara), Tan Sri Dato Sri Zulkiefli Mohd Zain hadir menyempurnakan perasmian Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program RPEL) dan Sijil PERHEBAT yang berlangsung di Dewan Suarah, Kota Samarahan pada Selasa.
Hadir sama Ketua Sektor Latihan Kemahiran dan Keusahawanan PERHEBAT, Dr Nor Hayati Yahaya dan Panglima Markas 3 Briged, Jeneral Mohd Sauffi Omar- TVS