KUCHING, 19 Nov: Konvensyen Tahunan Pertubuhan Antarabangsa untuk Penyelidikan Gondwana (IAGR) 2024 dan Persidangan Antarabangsa Gondwana ke Asia Edisi Ke-21 akan membincangkan kajian batuan, mineral dan potensi penemuan sumber tenaga baharu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata program ini selari dengan usaha Sarawak untuk meneroka sumber tenaga selain gas, hidroelektrik dan solar, sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, persidangan ini menyediakan platform penting bagi penyelidik dan ahli akademik untuk berkongsi pandangan saintifik tentang geodinamik dan metallogenesis.
“Sarawak komited menjayakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadi wilayah mampan menjelang 2030.
“Geosains dikenal pasti sebagai elemen penting dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni pada majlis perasmian IAGR 2024 dan Persidangan Antarabangsa Gondwana ke Asia Edisi Ke-21 di sini, hari ini.
Lebih 300 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai konvensyen yang berlangsung dari 18 hingga 22 November ini.
Antara topik utama ialah evolusi geodinamik, potensi sumber mineral untuk tenaga baharu, dan pengurusan geopelancongan.
Peserta juga akan melawat tapak lapangan di Lundu, Sematan dan Kuching untuk menilai formasi batuan serta potensi sumber mineral strategik seperti unsur nadir bumi.
Kajian ini penting untuk mengembangkan sumber tenaga boleh diperbaharui dan memajukan ekonomi hijau Sarawak.