JAKARTA, 19 Nov: Kerajaan Indonesia mengeluarkan amaran kekerapan hujan tinggi hingga mencetuskan banjir dan tanah runtuh di seluruh wilayah Indonesia pada hujung tahun ini.
Perkara itu disampaikan Ketua Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Suharyanto dalam mesyuarat penyelarasan dan sosialisasi pencegahan bencana antara agensi dan ketua daerah sebagai usaha mengesan bencana yang bakal berlaku.
Suharyanto meminta semua pihak bersiap sedia bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku akibat bencana hidrometeorologi basah yang diramalkan berlaku pada November dan Disember berikutan kekerapan hujan yang tinggi.
“Kita tidak boleh menghalang sesuatu bencana, tetapi apa yang kita mesti cuba lakukan ialah mengurangkan kesannya, apabila kita meningkatkan kesiapsiagaan daripada semua pihak, harapannya adalah untuk meminimumkan kesan bencana itu sendiri,” katanya.
Beliau menyebut amaran ini dikeluarkan bagi mengelak kesan dan pengendalian bencana yang sering tertangguh dan mendatangkan kesan teruk kepada masyarakat.
Suharyanto turut meminta semua kerajaan tempatan memetakan dan menyelaras dengan pihak berkepentingan dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Bukan itu sahaja, beliau turut merayu agar kerajaan wilayah segera mengisytiharkan darurat pengurusan bencana terutama di kawasan yang berpotensi dilanda banjir dan tanah runtuh bagi membantu melaksanakan langkah kawalan menyeluruh secepat mungkin.
Amaran ini juga memaklumkan kepada orang ramai agar bersiap sedia menghadapi situasi tersebut dan peka terhadap potensi bencana yang mungkin berlaku. -TVS