KUCHING, 19 Nov: Sektor pelancongan Sarawak dijangka pulih sepenuhnya menjelang tahun 2025 kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata pertumbuhan sektor berkenaan berkembang selaras dengan matlamat yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Oleh itu, kementerian saya akan berusaha mencapai sasaran lima juta pelawat pada tahun 2025, seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa ucapan Belanjawan Sarawak 2025, dengan hasil pelancongan sebanyak RM12.73 bilion,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Abdul Karim turut mendedahkan Sarawak telah mencapai sasaran melebihi empat juta ketibaan pelawat setakat 15 November, berbanding jangkaan asal pada akhir tahun ini.
Katanya, 4.08 juta ketibaan pelancong dicatatkan hasil daripada pelbagai acara antarabangsa, pelancongan kebangsaan, persidangan, dan mesyuarat di Sarawak.
“Dari Januari hingga Oktober 2024, Sarawak mencatatkan serami 3.98 juta pelawat, dengan peningkatan 25.03 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2023 dengan 3.18 juta pelawat.
“Pendapatan pelancongan dianggarkan sebanyak RM10.27 bilion, meningkat 27.26 peratus berbanding RM8.07 bilion pada tahun 2023,” katanya. – TVS